Sabtu, Disember 4

Antara Keajaiban 2 Tangan

Saya dikejutkan dengan kebolehan Makcik (Tante) Ta Nou yang berkebolehan menggoreng pisang dengan hanya menggunakan tangannya sahaja tanpa sudip. Beliau menunjukkan kebolehan luar biasanya semasa Expo MAHA 2010 di Serdang Selangor. Untuk kisah selanjutnya anda boleh melayari Web ini dan video nya disini.


Kebolehan luar biasa beliau memang satu anugerah tuhan. Sememangnya beliau bertuah dan kelebihan itu digunakan untuk mencari rezeki secara halal sehingga boleh menyara dan membesarkan malah menghantar anak anaknya ke universiti.

Ingat lagi kisah Maradona membantu kejayaan Argentina mengalahkan England diperingkat suku akhir kejohanan bolasepak Piala Dunia di Mexico City 1986? Ramai anak muda sekarang yang mengetahui peristiwa tersebut melalui media media atau laman web. Itu juga keajaiban rasanya. Jaringan melalui tandukan "tangan" pada minit 51 itu telah membantu Argentina mengalahkan England dengan 2-1 tanpa dikenakan apa apa penalti oleh pengadil perlawanan. Video jaringan tersebut ada di sini.



Gol tersebut telah dinobatkan sebagai "Goal of the Century" oleh pengundi pengundi di FIFA.com. Seterusnya Argentina telah berjaya keperlawanan akhir menentang dan mengalahkan pasukan Jerman.

Kalau kita bandingkan, peranan kedua dua tangan ajaib kepunyaan dua personaliti ini mungkin sama iaitu membantu kejayaan mereka. Walau bagaimanapun, perbezaan yang nyata adalah tangan tante Ta Nou digunakan dengan jalan yang betul untuk mencapai kejayaannya manakala tangan Maradona telah digunakan secara salah tanpa dikenakan penalti untuk membantu kejayaannya. Apa pandangan anda?

Jumaat, Disember 3

Sup Tulang Mamak Style

Buntu, nak makan apa untuk dinner malam ni. Jemu makan di kedai. Tetiba teringat ada lagi balance tulang dan daging dari Hari Raya Qurban yang lalu.



Memang sedap kalau buat sup mamak style! Makan pulak dengan roti Peranchis! Wow, tentu sedap…
Nak share sikit resepi ni. Kalau sedap bagitau, kalau tak sedap, buat buat tak tau ok!

Bahan bahan:

1 kilo tulang selangka (tulang belakang pun OK)
2 biji tomato (saiz sederhana)
1 batang carrot (saiz sederhana)
1 paket kecil rempah kurma
2 helai daun pandan
1 batang kulit kayu manis
5 biji buah pelaga
garam secukup rasa
daun sup dan bawang secukup rasa

Bahan kisar
5 ulas bawang merah (lebih pun tak apa)
4 ulas bawang putih
1 inchi halia

Cara masak
Rebus tulang dengan daun pandan sehingga lembut isinya. Jangan terlalu banyak air. Biarkan mendidih. Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bahan kisar tadi. Setelah naik bau masukkan rempah kurma yang telah dibancuh dengan sedikit air, kulit kayu manis dan buah pelaga. Tumis sehingga naik bau. Kemudian tuang bahan tumisan kedalam rebusan daging tadi. Kacau sehingga menggelegak. Masukkan tomato yang telah dibelah empat bersama carrot. Masak sehingga tomato hancur supaya dapat terasa kemasamannya. Masukkan garam secukup rasa. Tambahkan asam keping jika suka sup masam. Sekiranya pekat tambahkan air. Akhir sekali masukkan daun sup, daun bawang dan bawang goreng. Hasilnya…

Expo MAHA 2010

Sempat jugak meluangkan masa hujung minggu lepas untuk bersama keluarga mengunjungi Expo MAHA 2010 di MAEPS Serdang. Expo kali ini berlangsung selama 10 hari dari 26 Nov sehingga 5 Dec 2010. Seperti tahun tahun yang sudah, Expo ini memang besar dan banyak syarikat syarikat dan agensi kerajaan yang mengambil bahagian. Ini termasuk penyertaan dari beberapa buah negara luar seperti Indonesia, Iran dan Brunei. Tak sempat nak tengok semua walau hampir satu hari di sana.


Sempena cuti sekolah ini, ada baiknya bawa anak anak kita ke sana. Banyak ilmu pengetahuan dan pendedahan yang boleh kita ajarkan. Jadi tidaklah masa lapang mereka hanya dipenuhi dengan PSP, Facebook dan lain lain. Di sana kita dapat dedahkan mereka dengan “Ilmu untuk Hidup” seperti tumbuh tumbuhan, haiwan, makanan makanan asas dan juga cara cara berternak dan bertani.


Dalam seronok melihat pameran berkenaan pertanian dan penternakan, tetiba ditegur oleh seorang anak muda yang menjual Internet Broadband. Tak lama kemudian ditegur pulak oleh lelaki Tionghua yang menjual Insurance. Terasa ada sedikit keganjilan. Kalau nak niaga pun carilah tempat yang sesuai dan kena masanya. Walau bagaimanapun, Insyallah akan kesana sekali lagi untuk melihat pameran yang belum sempat disinggahi.